Masalah Saluran Air Mata Tersekat

 

Seorang ibu muda mengadu, “anak saya berusia dua bulan. Tapi matanya selalu berair bukan itu saja, kadangkala langsung tidak boleh buka kerana diselaput tahi mata. Kalau waktu pagi, tahi mata yang keras seakan gam menutup matanya. Apa sebenarnya masalah mata anak saya? Peliknya, hanya mata kiri, mata kanan elok pula,.”


Anda pernah mendengar masalah yang dinamakan ’blocked tear ducts?’ Masalah yang diutarakan ibu itu sebenarnya masalah biasa hampir 30 peratus bayi yang baru dilahirkan. Masalah saluran air mata yang tersekat ini tidak kelihatan serta merta sebaik dilahirkan. Hanya selepas beberapa hari atau minggu pertama kelahiran, masalah ini timbul.


Ia bukan masalah serius, sebaliknya akan hilang apabila bayi berusia enam bulan ke atas. Bagaimanapun jika hingga usianya setahun, masih belum pulih, satu pembedahan kecil perlu dilakukan bagi membuka saluran yang tersekat. Apa sebenarnya masalah saluran air mata tersekat?
Secara normal, air mata akan mengalir dari mata melalui tiub kecil yang dinamakan saluran air mata yang merintang dari mata hingga ke hidung. Selalunya, masalah saluran air mata yang tersekat terjadi apabila pembukaan saluran itu tidak terbuka sempurna. Apabila saluran itu tersekat, ia dipenuhi cecair dan boleh menyebabkan mata bengkak dan radang malah kadangkala jangkitan.


Tetapi ia boleh juga terjadi disebabkan jangkitan, pertumbuhan luar biasa tulang hidung yang menekan saluran air mata dan menutupnya. Atau pembukaan dalam penjuru mata (puncta) tidak terbentuk atau tertutup. Sebenarnya masalah saluran air mata tersekat ini bukan saja terjadi pada bayi yang baru lahir tetapi juga orang dewasa. Bagi orang dewasa puncanya lebih serius. Antaranya disebabkan penebalan garisan salur air mata, masalah resdung atau hidung, kecederaan pada tulang dan tisu sekeliling mata (seperti tulang pipi), jangkitan atau tumor.


Masalah saluran air mata yang tersumbat boleh dirawat di rumah. Biasanya doktor kanak-kanak atau doktor mata akan mencadangkan bahagian hidung mata yang sakit diurut beberapa kali sehari. Tetapi pastikan tangan anda dibasuh sebelum mengurut mata anak. Jika jangkitan terjadi, doktor akan memberi ubat titik.

Kapas yang dibasahkan dengan air suam juga boleh digunakan untuk menyapu tahi mata yang terlekat tetapi hanya gunakannya tidak lebih dari sekali. Jika keadaan yang sama berlarutan hingga usia bayi mencapai enam ke lapan bulan dan terjadinya jangkitan serius atau jangkitan berulang, doktor mungkin mencadangkan pembedahan kecil untuk membuka saluran yang tertutup.
Sumber Maklumat: Berita Minggu.

Info : http://pmr.penerangan.gov.my/index.php/sosial/490-masalah-saluran-air-mata-tersekat.html